Sempena memuliakan peristiwa Nuzul Al-Qur'an yang bakal di sambut pada 27/8/2010 Masihi bersamaan dengan 17 Ramadhan 1431 Hijrah. Ana ingin mengajak umat Islam di seluruh dunia menghayati peristiwa tersebut. Kita sedia maklum sudah mengetahui bahawa Al-Qur'an diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w secara berperingkat-peringkat secara keseluruhan selama-mana baginda menjadi utusan Allah.
Pada zaman awal Islam, penghafazan ialah kaedah utama yang digunakan bagi memelihara Al-Qur'an. Setiap ayat yang turun dihafal oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Sebenarnya, hafazan bukanlah kaedah baru yang diperkenalkan oleh Islam tetapi merupakan budaya masyarakat Arab yang mengutamakan penghafazan dalam kehidupan mereka. Sebagai perbandingan tentang betapa penting dan utuhnya budaya menghafal dalam masyarakat Arab Jahiliyyah yang mencela golongan yang cuba memperkenalkan budaya menulis kerana pada pandangan mereka, tulisan mengikis budaya menghafal yang sekian lama telah mereka warisi dan amalkan.
Kepentingan bidang penulisan menjadi semakin ketara berikutan turunnya wahyu dan penyebaran dakwah Islam terutama pada zaman Madinah. Suasana ini telah memberikan kesan yang besar terhadap perkembangan penulisan dalam masyarakat Islam. Selain menulis wahyu dan hadis, jurutulis turut diperlukan untuk tujuan lain yang tidak kurang pentingnya, iaitu menulis perintah Rasulullah sebagai Ketua Negara, urusan surat-menyurat dengan kerajaan luar dan penyebaran dakwah kepada Allah.
Dalam konteks penulisan wahyu pada ketika itu, khat Kufi mengambil tempat sebagai tulisan yang cukup popular di dalam menzahirkan wahyu dalam bentuk penulisan. Kehadiran Ibnu Muqlah menyebabkan masyarakat Islam mula beralih kepada seni khat yang melengkok kerana tulisannya dilihat benar-benar melahirkan suatu bentuk seni yang bergantung kepada kretiviti manusia, tanpa menggunakan peralatan lain misalnya pembaris. Seni khat jenis ini mampu memberikan kepuasan kepada penulis khat yang bergantung sepenuhnya kepada kreativiti dan kawalan tangan, serta emosi. Seni ini jelas memberikan banyak kebebasan kepada penulis khat dalam menghasilkan karya mereka.
Bermula dari era ini, penulis khat bertukar selera dengan membuat penyalinan al-Qur'an menggunakan khat melengkok yang dikenali sebagai khat Nasakh, menggantikan khat Kufi. Khat ini dinamai Nasakh kerana kehadirannya telah menafikan penggunaan khat Kufi yang selama ini menjadi tradisi dalam penyalinan Al-Qur'an.
Siapakah Ibnu Muqlah?
Beliau ialah Perdana Menteri kepada tiga orang khalifah Abbasiah, iaitu al-Muqtadir, al-Qahir dan al-Radi. Selain keterampilan dalam bidang politik, Ibnu Muqlah juga mempunyai pengetahuan yang luas dalam ilmu sains dan geometri. Beliau memiliki ilham yang istimewa dalam menyusun kaedah baru yang membolehkan seni khat ditulis dengan berpandukan kaedah yang tetap, selaras dan sistematik. Al-Syaikh Ali Jum'ah Mufti Jumhuriyyah Mesir pernah menyatakan bahawa seni khat telah dipilih oleh Allah S.W.T sebagai tulisan untuk menulis wahyu-Nya. Allah S.W.T juga yang mengilhamkan Ibnu Muqlah tentang cara bagaimana untuk menyusun kaedah penulisan khat supaya dapat diwarisi oleh umat Islam sepanjang zaman. Beliau mengumpamakan Ibnu Muqlah dengan lebah yang diberikan oleh Allah S.W.T ilham untuk menghasilkan rumah bagi menyimpan madunya dengan susunan yang begitu unik dan indah.
No comments:
Post a Comment