Islamic Widget

Sunday, August 29, 2010

Sejauhmanakah penghayatan bangsa Melayu terhadap kepentingan tulisan jawi?

Peranan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai institusi pengajian tinggi yang memegang amanah penting di dalam memartabatkan bahasa Malaysia (dahulu di kenali sebagai bahasa Melayu) sudah lupa bahawasanya tulisan jawi digunakan di dalam menterjemahkan bahasa Melayu itu sendiri. Sebaliknya, tulisan rumi di angkat menjadi tulisan rasmi secara umumnya.
Pada ketika dulu, bahasa Melayu berkait rapat dengan tulisan jawi, sebagai contoh tulisan khat yang tertulis pada Batu Bersurat Terengganu. Namun realiti masa kini telah menyaksikan tulisan jawi semakin pupus dek kerana kurangnya generasi yang menghayati khazanah warisan bangsa tersebut lantas meneruskan penggunaan tulisan rumi sebagai tulisan seharian. Sedar atau tidak, ramai generasi pada zaman kurang mahir menulis serta mempraktikkan tulisan jawi. Lebih malang lagi, ada segelintir pelajar yang bergelar mahasiswa tidak boleh membaca jawi.
Marilah kita berfikir sejenak..Apakah tulisan jawi itu tidak penting dalam kehidupan kita sedangkan huruf jawi itu di ambil dari tulisan Al-Qur'an itu sendiri?

Monday, August 23, 2010

Khattul Qur'an: Ilham Allah kepada Perdana Menteri????

Sempena memuliakan peristiwa Nuzul Al-Qur'an yang bakal di sambut pada 27/8/2010 Masihi bersamaan dengan 17 Ramadhan 1431 Hijrah. Ana ingin mengajak umat Islam di seluruh dunia menghayati peristiwa tersebut. Kita sedia maklum sudah mengetahui bahawa Al-Qur'an diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w secara berperingkat-peringkat secara keseluruhan selama-mana baginda menjadi utusan Allah.
Pada zaman awal Islam, penghafazan ialah kaedah utama yang digunakan bagi memelihara Al-Qur'an. Setiap ayat yang turun dihafal oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Sebenarnya, hafazan bukanlah kaedah baru yang diperkenalkan oleh Islam tetapi merupakan budaya masyarakat Arab yang mengutamakan penghafazan dalam kehidupan mereka. Sebagai perbandingan tentang betapa penting dan utuhnya budaya menghafal dalam masyarakat Arab Jahiliyyah yang mencela golongan yang cuba memperkenalkan budaya menulis kerana pada pandangan mereka, tulisan mengikis budaya menghafal yang sekian lama telah mereka warisi dan amalkan.
Kepentingan bidang penulisan menjadi semakin ketara berikutan turunnya wahyu dan penyebaran dakwah Islam terutama pada zaman Madinah. Suasana ini telah memberikan kesan yang besar terhadap perkembangan penulisan dalam masyarakat Islam. Selain menulis wahyu dan hadis, jurutulis turut diperlukan untuk tujuan lain yang tidak kurang pentingnya, iaitu menulis perintah Rasulullah sebagai Ketua Negara, urusan surat-menyurat dengan kerajaan luar dan penyebaran dakwah kepada Allah.
Dalam konteks penulisan wahyu pada ketika itu, khat Kufi mengambil tempat sebagai tulisan yang cukup popular di dalam menzahirkan wahyu dalam bentuk penulisan. Kehadiran Ibnu Muqlah menyebabkan masyarakat Islam mula beralih kepada seni khat yang melengkok kerana tulisannya dilihat benar-benar melahirkan suatu bentuk seni yang bergantung kepada kretiviti manusia, tanpa menggunakan peralatan lain misalnya pembaris. Seni khat jenis ini mampu memberikan kepuasan kepada penulis khat yang bergantung sepenuhnya kepada kreativiti dan kawalan tangan, serta emosi. Seni ini jelas memberikan banyak kebebasan kepada penulis khat dalam menghasilkan karya mereka.
Bermula dari era ini, penulis khat bertukar selera dengan membuat penyalinan al-Qur'an menggunakan khat melengkok yang dikenali sebagai khat Nasakh, menggantikan khat Kufi. Khat ini dinamai Nasakh kerana kehadirannya telah menafikan penggunaan khat Kufi yang selama ini menjadi tradisi dalam penyalinan Al-Qur'an.
Siapakah Ibnu Muqlah?
Beliau ialah Perdana Menteri kepada tiga orang khalifah Abbasiah, iaitu al-Muqtadir, al-Qahir dan al-Radi. Selain keterampilan dalam bidang politik, Ibnu Muqlah juga mempunyai pengetahuan yang luas dalam ilmu sains dan geometri. Beliau memiliki ilham yang istimewa dalam menyusun kaedah baru yang membolehkan seni khat ditulis dengan berpandukan kaedah yang tetap, selaras dan sistematik. Al-Syaikh Ali Jum'ah Mufti Jumhuriyyah Mesir pernah menyatakan bahawa seni khat telah dipilih oleh Allah S.W.T sebagai tulisan untuk menulis wahyu-Nya. Allah S.W.T juga yang mengilhamkan Ibnu Muqlah tentang cara bagaimana untuk menyusun kaedah penulisan khat supaya dapat diwarisi oleh umat Islam sepanjang zaman. Beliau mengumpamakan Ibnu Muqlah dengan lebah yang diberikan oleh Allah S.W.T ilham untuk menghasilkan rumah bagi menyimpan madunya dengan susunan yang begitu unik dan indah.

Monday, August 16, 2010

Apa fungsi kalimah Allah pada album Laskar Cinta kumpulan Dewa??

Pada post kali ini, ana ingin mengajak seluruh umat Islam yang menziarahi blog ana agar sama-sama menghayati serta meneliti logo bintang yang terpapar pada album Laskar Cinta di atas yang merupakan milik band dari Indonesia iaitu Dewa. Sebenarnya, logo 'Laskar Cinta' yang berbentuk bintang berbucu 8 di atas merupakan kalimah Allah yang ditulis sebanyak 8 kali.
Isu penggunaan kalimah Allah sering diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Namun kita telah terlupa serta terlepas pandang terhadap isu kalimah Allah yang dijelmakan menerusi pengaplikasian seni khat Kufi Murabba'. Serba ringkas mengenai seni khat Kufi Murabba' atau lebih dikenali sebagai kufi empat segi yang hurufnya disusun rapat antara satu dengan yang lain sehingga terhasil bentuk empat segi padat, sama ada segi empat sama atau tepat. Ruang positif (yang terdiri daripada huruf) dan ruang negatif (ruang pemisah antara huruf) adalah sama saiznya. Bagi tujuan tersebut, kaedah susunan huruf bagi khat ini agak ganjil dan tidak begitu banyak menekankan kaedah yang ketat. Huruf boleh disusun dari kanan ke kiri, tegak atau terbalik. Titik huruf juga tidak wajib, hanya digunakan demi memenuhi dan mengimbangi ruang negatif.
Untuk menghasilkan khat jenis ini, pengetahuan matematik diperlukan di samping kaedah dan bakat seni. Dengan menggunakan garis melintang dan tegak (seperti kertas graf) yang mempunyai ukuran yang sama, setiap huruf perlu diukur menggunakan nisbah ruang supaya menjadi padat dan sekata. Ada kalanya huruf alif boleh menjadi bengkok, mim menjadi seakan-akan huruf ha dan lain-lain demi menyingkirkan ruang kosong (positif dan negatif). Khat jenis ini banyak digunakan sebagai simbol, perlambangan, nama tertentu dan corak hiasan pada bangunan Islam, berbanding ayat-ayat Al-Qur'an.
Jelaslah, gaya khat yang boleh dibentuk secara fleksibel ini telah diaplikasi oleh artis kumpulan Dewa dari Indonesia yang di dakwa sebagai ' Agen Penyebar Propaganda Zionis Yahudi' menerusi simbol kalimah Allah pada kulit album kaset dan cakera padat artis terbabit. Masyarakat yang melihat mungkin menganggap ianya sekadar hiasan semata-mata, namun ahli khat yang mempelajari huruf Arab dan selok-belok penulisan seni khat tersebut melihat bahawa logo yang digunakan adalah terhasil dari kalimah Allah. Malah amat menyedihkan, logo tersebut tertera di atas lantai pentas di mana tempat artis tersebut mengadakan persembahan. Kejadian tersebut telah di sedari oleh seorang pendakwah terkenal iaitu Ustaz Wahfiuddin yang secara kebetulan menonton siaran langsung pertunjukan artis terbabit. Beliau mendakwa logo yang dipijak oleh kumpulan Dewa sebenarnya adalah khat kalimah Allah.
Berdalilkan buku yang berjudul 'The Cultural Atlas of Islam' karya Prof. Dr Ismail Faruqi yang memaparkan imej bintang yang sama berupa tulisan Arab dari ungkapan Allah, beliau lantas menerangkan isu tersebut kepada pihak media serta kepada Ahmad Dhani selaku ketua kumpulan Dewa. Ahmad Dhani berusaha menafikan dengan mengatakan terdapat perbezaan 'Lafdhul Jalalah' dan Laskar Cinta kerana lambang yang dipijak itu sudah diubahsuaikan dengan mengisi bahagian huruf akhir (ha). Tetapi bagi orang yang mengenal huruf khat Arab, pengubahsuaian tersebut tidak mengubah bentuk dan maknanya secara signifikan. Menurut pakar khat dari Indonesia iaitu Didin Sirojuddin AR telah bersetuju bahawa lambang khat 'Laskar Cinta' adalah simbolik dari khat Arab 'Lafdhul Jalalah'.